Get Adobe Flash player

Sejarah

 

SEJARAH JABATAN PENYIARAN NEGERI PERAK ATAU "PERAKFM"

Stesen Radio Negeri Perak mula bertapak apabila Radio Malaya Stesen Ipoh ditubuhkan pada 1956 di sebuah tapak berhampiran Lapangan Terbang Ipoh. Namun pada tahun 1966, sebuah bangunan stesen Radio yang lengkap hasil ilham arkitek Iversen Van Sitteran didirikan di atas kawasan seluas 5.670 Hektar di Jalan Dairy, Ipoh. Kontraktor yang mengendalikan pembinaannya ialah Syarikat Teoh Tay & Son dari Sungai Siput, Perak. Radio Malaya Stesen Ipoh telah memulakan operasinya dari bangunan di Jalan Dairy, Ipoh ini dengan anggota seramai 50 orang. Selain konti siaran, bangunan ini memuatkan 3 studio radio, auditorium dengan kapasiti 100 penonton dan bengkel kejuruteraan dan ruang pejabat untuk semua petugas.

 

Bermula tahun 2008, sebuah kompleks penyiaran baharu dibina untuk menggantikan bangunan lama yang semakin using. Kompleks baharu Jabatan Penyiaran Negeri Perak ini (yang kini dinamakan Kompleks Bersepadu Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, KPKK) Negeri Perak menempatkan 2 konti, sebuah studio multi purpose,  sebuah studio TV dan sebuah auditorium berkapasiti 600 orang penonton, bilik suntingan audio, berita suntingan berita TV, Unit Outcast Broadcasting (OB)

 

Selain itu, bangunan pejabat setinggi tiga tingkat didirikan memberi ruang pejabat kepada Jabatan Penerangan Negeri Perak di tingkat dua dan tiga, dan Bahagian Rancangan Jabatan Penyiaran Negeri Perak yang menempatkan pejabat semua Penyampai/ DK PERAKfm di tingkat bawah. Manakala pajabat Pengarah Penyiaran, Timbalam Pengarah Penyiaran dan bahagian Pantadbiran dan Kejuruteraan Jabatan Penyiaran Negeri Perak pula terletak  di tingkat satu bersebelahan dengan ruang studio dan konti di tingkat bawah.

 

Tarikh 16 September 2012 merupakan satu tarikh bersejarah apabila konti baharu di bangunan baharu mula digunakan sepenuhnya untuk siaran PERAKfm. Mula pukul 12 tengah hari, Pengarah Penyiaran Negeri Perak, Puan Kham Siah Hindon Md Said yang bersiaran secara langsung mengumumkan bahawa mulai saat itu konti baharu mula digunakan dan konti lama di bangunan lama ditutup dengan rasminya. Para Juruhebah PERAKfm mulai bersiaran di konti baharu ini dengan penuh keselesaan dengan sistem digital baharu yang memberi perkhidmatan siaran radio yang lebih jelas dan berkualiti tinggi.

 

Hari ini, RTM Perak/ PERAKfm  mempunyai 96 orang kakitangan termasuk yang bertugas di Stesen Pemancar Grik dan di stesen Pemancar Bukit Gantang.