Get Adobe Flash player

Perisytiharan Daerah Bagan Datuk

Pada 9 Januari 2017, Bagan Datuk telah secara rasmi diisytiharkan sebagai daerah ke-12 di negeri Perak. Titah perisytiharan itu dilafazkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk (SABDA) pada jam 11.14 pagi. Baginda kemudian menandatangani plak perisytiharan berkenaan. Selaras perisytiharan itu, ejaan nama Bagan Datoh secara rasmi ditukar kepada Bagan Datuk. Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut berkenan berangkat ialah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah serta Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah. Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.


Bagan Datuk berkeluasan 94,969.9 hektar dan mempunyai 70,300 penduduk sebelum ini berada di bawah pentadbiran daerah Hilir Perak sebelum diwartakan sebagai daerah penuh pada 15 Jun 2016.

Turut diadakan pameran dari agensi kerajaan semasa Majlis ini. PerakFM telah berlintas langsung semasa Majlis ini bersama pengulas DJ Saiful, Penerbit Penyelaras Nordin Mohd Nor dan Ketua Bahagian Rancangan PerakFM En. Ahmad Faudzi Ramli.