WOW PERAKfm 2022 Teluk Intan dan Jelajah Ramadan RTM 2022



Diterbitkan pada 03 Apr, 2022

WOW PERAKfm 2022 Teluk Intan dan Jelajah Ramadan RTM 2022 diadakan pada 2 & 3 April 2022. Pelbagai pengisian menarik disusun atur bagi program ini.

Pada 2 April, ia dimulakan dengan penggambaran TravelLook di River Cruise Teluk Intan di mana kami dibawa menaiki bot menelurusi Sungai Perak melihat keindahan pemandangan dan burung-burung di habitat Pulau Bangau. 

Pada 3 April pula, seawal pukul 3.00 pagi kru kami telah ke Kampung Selabak, Teluk Intan bagi menyertai program Kejut Sahur. Amalan tradisi di kampung ini telah dilaksanakan hampir 10 tahun. Tujuannya ialah untuk mengejut para penduduk kampung setiap pagi untuk bersahur. Kumpulan Gerak Sahur atau singkatannya GGS akan bergerak secara berkumpulan menaiki motorsikal, meronda kampung dan menggunakan 'pump' hon pada motor sambil berlaung 'Sahur, Sahur'. Kru kami turut serta dalam konvoi ini dengan menaiki motorsikal antaranya DJ Miem, DJ Finas, DJ Ros dan DJ Nana. Pengarah Penyiaran Negeri Perak, Pn Syazariah Majidi dan Timbalan Pengarah, Pn Noorhafizatul Sarah Thahil turut serta berkonvoi. Mereka berkonvoi ke Kampung Selabak, Kampung Cerah, Selabak Dalam dan Batu 4 Selabak. 

Seterusnya, gotong-royong memasak bubur lambuk telah diadakan di Perkarangan Masjid Melayu Teluk Intan bermula pukul 9 pagi. 4 periuk disediakan yang mampu untuk menghasilkan 2000 pek di mana ia diselaraskan oleh Jawatankuasa Masjid Melayu Teluk Intan. PERAKfm turut berlintas langsung dari semasa ke semasa untuk siaran radio PERAKfm dan diadakan juga DJ Corner bersama-sama para penyampai PERAKfm DJ Nani, DJ Saiful Nawab, DJ Miem, DJ Finas & DJ Ros. Pada sebelah petangnya iaitu 2.15 petang bermulanya Ziarah Cakna Komuniti menziarahi OKU dan asnaf dalam kariah Masjid Melayu Teluk Intan. RTM Perak turut memberikan sumbangan oleh para penaja antaranya katil kesihatan, lampin pakai buang dan kotak makanan barangan keperluan harian. 4.00 petang pula diketengahkan kuih-muih tradisi di Teluk Intan seperti Kuih Limas, Kuih Cara, Kuih Lempeng Pisang,Kuih Seri Muka dan Kuih Bahulu Kemboja. Kesemua kuih-kuih ini menjadi pilihan terutamanya sebagai juadah ketika berbuka puasa.

Program Tausiyyah bersama-sama Datuk Ustaz Kazim Elias diadakan pada pukul 5.00 petang dengan tajuk ceramah 'Al Quran Syafaat Buat Kita'.