Sejarah tidak boleh menolak, peranan A.L Birch, seorang jurutera British yang membawa set radio pertama ke Malaya pada tahun 1921. Dengan kemasukan radio tersebut, maka tertubuhlah Persatuan Wireless Johor pada tahun 1923, yang memulakan siaran melalui gelombang 300 meter. Pada tahun 1925, Persatuan yang sama juga ditubuhkan di Pulau Pinang. Diikuti pula dengan penubuhan Persatuan Wireless Tanah Melayu di Kuala lumpur pada tahun 1928. Persatuan Wireless Pulau Pinang telah berjaya mendapat lesen yang juga merupakan lessen pertama dikeluarkan di Malaya pada 24 Ogos 1934 atas nama seorang ahli persatuan bernama Khoo Sian Ewe.
Penubuhan Jabatan Siaran Radio di Singapura pada 1 April 1946, secara rasmi menjadi tarikh keramat bermulanya sejarah radio di Malaya. Perkembangan dan keberkesanan Radio Malaya turut mempengaruhi Sabah & Sarawak. Ini kerana pada tahun 1952, telah menyaksi bidang penyiaran secara percubaan bermula di Borneo Utara. Pelancaran Rasmi Radio Sarawak pada tahun 1954 & Radio Sabah pada tahun berikutnya telah membawa era baru kepada rakyat Sabah & Sarawak.
Siaran langsung penurunan The Union Jack & pengisytiharan kemerdekaan yang disiarkan secara langsung oleh Radio Malaya adalah bahan sejarah yang amat penting yang telah dilaksanakan oleh Radio Malaya.
Satu demi satu peristiwa bersejarah Radio Malaya, dibawa kepada pendengarnya. Nyata Radio Malaya adalah amat penting ketika itu untuk menjadi mata, telinga dan mulut rakyat bagi menyatakan matlamat dan arah tuju pentadbiran kerajaan. Selain daripada berperanan untuk menyebar berita, Radio Malaya banyak menyiarkan kejayaan kerajaan dalam membangun Negara. Juga mewujudkan suasana harmoni di kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai bangsa & agama.
Radio Malaya juga banyak memainkan peranannya dalam membentuk sahsiah diri untuk menyemarak dan memperkayakan pejuang, pelapis, pengamal seni tanah air, radio juga banyak menganjurkan pertandingan. Antaranya bintang radio yang telah melahirkan ramai bintang seni yang disegani hingga ke hari ini.
Peranan stesen radio negeri-negeri juga, banyak membantu kerajaan untuk mendengar dan menyelami permasalahan rakyat. Ini menjadikan RTM sebagai saluran yang berkesan untuk menjadi lidah rakyat & kerajaan. Menyedari masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum & etnik, RTM telah mewujudkan beberapa siaran radio yang mewakili kaum & etnik Malaysia. Keberkesanan stesen radio ini amat ketara & memberi satu impak besar kepada masyarakat. Ianya dapat kita lihat sehingga hari ini.
Sejarah Jabatan Penyiaran Negeri Perak atau PERAKfm
Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani,
Stesen Radio Negeri Perak mula bertapak apabila Radio Malaya Stesen Ipoh ditubuhkan pada 1956 di sebuah tapak berhampiran Lapangan Terbang Ipoh. Namun pada tahun 1966, sebuah bangunan stesen Radio yang lengkap hasil ilham arkitek Iversen Van Sitteran didirikan di atas kawasan seluas 5.670 Hektar di Jalan Dairy, Ipoh. Kontraktor yang mengendalikan pembinaannya ialah Syarikat Teoh Tay & Son dari Sungai Siput, Perak. Radio Malaya Stesen Ipoh telah memulakan operasinya dari bangunan di Jalan Dairy, Ipoh ini dengan anggota seramai 50 orang. Selain konti siaran, bangunan ini memuatkan 3 studio radio, auditorium dengan kapasiti 100 penonton dan bengkel kejuruteraan dan ruang pejabat untuk semua petugas.
Bermula tahun 2008, sebuah kompleks penyiaran baharu dibina untuk menggantikan bangunan lama yang semakin usang. Kompleks baharu Jabatan Penyiaran Negeri Perak ini (yang kini dinamakan Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah) menempatkan 2 konti, sebuah studio multi purpose, sebuah studio penerbitanTV dan sebuah auditorium berkapasiti 600 orang penonton, bilik suntingan audio, berita suntingan berita TV, Unit Outcast Broadcasting (OB).
Selain itu, bangunan pejabat setinggi tiga tingkat didirikan memberi ruang pejabat kepada Jabatan Penerangan Negeri Perak di tingkat dua dan tiga, dan Bahagian Rancangan Jabatan Penyiaran Negeri Perak yang menempatkan pejabat semua Penyampai / DJ PERAKfm di tingkat bawah. Manakala pajabat Pengarah Penyiaran, Timbalan Pengarah Penyiaran dan bahagian Pantadbiran dan Kejuruteraan Jabatan Penyiaran Negeri Perak pula terletak di tingkat satu bersebelahan dengan ruang studio dan konti di tingkat bawah.
Tarikh 16 September 2012 merupakan satu tarikh bersejarah apabila konti baharu di bangunan baharu mula digunakan sepenuhnya untuk siaran PERAKfm. Mula pukul 12 tengah hari, Pengarah Penyiaran Negeri Perak, Puan Kham Siah Hindon Md Said yang bersiaran secara langsung mengumumkan bahawa mulai saat itu konti baharu mula digunakan dan konti lama di bangunan lama ditutup dengan rasminya. Para Juruhebah PERAKfm mulai bersiaran di konti baharu ini dengan penuh keselesaan dengan sistem digital baharu yang memberi perkhidmatan siaran radio yang lebih jelas dan berkualiti tinggi.
Hari ini, RTM Perak / PERAKfm mempunyai 87 orang kakitangan.